Secebis Kisah, Segunung Kenangan: Dua Dekad di JKM

Pejam Celik, Dah 20 Tahun di JKM – Sebuah Catatan Perjalanan


16 Disember 2002 – 16 Disember 2022


Pejam celik, pejam celik… dah genap 20 tahun che kak berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Rasa macam baru semalam lapor diri di Grand Seasons Avenue, tingkat 10B. Tapi sebenarnya, dari situlah bermula satu perjalanan yang penuh dengan pelbagai rasa suka, duka, lucu, letih, dan penuh pengajaran.


Titik Permulaan Yang Tak Mudah


Baru lapor diri, belum sempat selesa, dah kena “halau” dari rumah saudara tempat menumpang sementara. Akhirnya bermalam di masjid kawasan Cheras macam kes terdampar pula. 😅 Mujur ada kak ngah datang teman dari Shah Alam malam tu, sebab bas pun dah tak ada.


Esoknya, kawan sepejabat tolong cari bilik sewa berdekatan pejabat, dan ayah terus bank in duit untuk bayaran deposit. Dari situ che kak mula belajar tentang berdikari, tentang susahnya hidup di kota, dan tentang erti tolong-menolong.


Gaji Pertama, Surat Pertama


Dapat gaji pertama, bukan terus shopping. Terus tulis surat ke Yayasan Terengganu minta potong gaji untuk bayar balik pinjaman belajar. Bukan banyak pun, RM7,500 je. Tapi che kak tekad untuk habiskan dalam masa empat tahun. Alhamdulillah, selesai juga akhirnya.


Kisah Flat 15 Tingkat, Teksi Meter & Anjing Manja


Ada satu masa, pregnant 7–8 bulan, lif flat rosak. Naik turun 15 tingkat... letih bukan main. Sampai opis terus tertidur di surau. 🤣


Pernah juga terkandas sebab duit tambang tak cukup. Ingat RM50 cukup naik teksi meter, sekali jalan jem, meter laju semacam. Jalan kaki jauh juga sebelum jumpa bas. Mujur ada sikit duit tambang baki.


Paling tak boleh lupa, masa melawat rumah klien India, terlompat atas meja makan sebab terkejut anjing datang. Rupa-rupanya anjing tu cuma nak bermanja. Habis gaya che kak masa tu! 😆

 


Dari KL ke Pasir Mas, Kini Pasir Puteh


Lepas beberapa tahun di KL, rezeki dapat bertukar ke Pasir Mas. Sewa rumah kampung papan sorang-sorang. Rumah besar, tapi waktu malam pukul 8 dah kurung diri dalam bilik sampai Subuh. Tak berani keluar langsung! Hahaha.


Lepas 9 tahun, isi borang tukar ke Pasir Puteh. Alhamdulillah, diluluskan. Otak pun dah tepu hadap unit EB bertahun-tahun. Di Pasir Puteh inilah, che kak mula rasa stabil semula dari segi emosi, tenaga, dan minat kerja.


Tak Pernah Habis Belajar


Sekarang diamanahkan unit penguatkuasaan dan juga urus unit komuniti. Memang mencabar, kadang-kadang masih blur dan gelabah. Tapi seronok sebab ada kawan-kawan yang supportive. Ilmu pun kena sentiasa update tak boleh bergantung ilmu turun temurun je. SOP dan garis panduan sentiasa berubah.


Baru-baru ni juga dapat sijil SKM Tahap 3 Amalan Kebajikan Sosial. che kak galakkan siapa yang dah lama kerja ambillah juga. Nanti che kak share lebih lanjut pasal ni.


Bukan Sekadar Kerja


Kadang-kadang memang datang rasa malas, rasa nak pencen awal, rasa penat. Tapi bila teringat susah payah masa mula kerja dulu, rasa sayang sangat nak tinggal. Bila tengok kehidupan klien yang lebih mencabar, terus insaf dan bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang Allah bagi melalui pekerjaan ni.


Setiap pekerjaan ada tekanannya. Jual nasi lemak tepi jalan pun ada cabarannya. Tapi apa yang penting, niat kita bekerja. Kalau niat betul, inshaAllah walau penat, tetap puas.


Akhir kata, terima kasih JKM atas segala pengalaman hidup, atas kematangan yang tak mungkin che kak capai kalau  kerja tempat lain. Terima kasih juga untuk rakan-rakan batch 16.12.2002 – selamat ulang tahun perkhidmatan kita semua!


Semoga terus bersemangat, terus belajar, dan terus berbakti. 💪✨


Comments