Tak Romantik, Tapi Cinta

Tak Romantik, Tapi Cinta

Cinta ini, walau tak ditulis di dinding Facebook setiap hari, tetap membara. Dalam diam, dalam doa, dalam tangisan waktu malam.


Che kak bukan isteri sempurna. Tapi dia tahu satu perkara dia rindu. Teramat. Rindu pada seorang suami yang selalu ada. Yang suka masak macam-macam walau penat. Yang akan ikut ke pasar walau sekadar nak beli ayam seekor. Yang suka tegur kalau dia silap, semata-mata nak masuk syurga sama-sama.


Dia tak reti cakap "I love you", apatah lagi nak peluk-peluk depan orang. Tapi dalam gaduh, ada rindu. Dalam diam, ada sayang.



 "Abang saye sayo dop?"

"Tok soh tanyo soale bodo."


Jawapan yang tak romantik, tapi itulah cinta dalam bentuk tanggungjawab. Dia bukan jenis hadiahkan bunga segar. Tapi pernah juga bagi bunga bling-bling yang 'takleh makan' dan tetap buat hati che kak cair. Che kak tahu, dia cuba.


Mereka bukan pasangan 'sweet' di media sosial. Gambar makan berdua pun jarang. Tapi bila berjauhan, che kak rasa macam ada separuh jiwa yang hilang. Balik kerja, rasa sunyi walaupun anak-anak ramai di rumah. Rumah tetap rumah  tapi tanpa dia, rasa kosong.


Tapi bila che kak cuba meluah, ada pula yang buat aduan. Kononnya menjatuhkan imej jabatan. Lalu semua status luahan perasaan dihapus. Che kak senyap. Set to "Only Me"  hanya Allah dan che kak yang tahu.


Pernah juga terfikir nak ke Putrajaya sendiri mohon suami dikembalikan. Tapi takut. Malu. Rasa macam siapa la che kak ni? Bukan orang besar. Tak ada 'kabel'. Cuma isteri biasa, yang bekerja, anak tujuh, hati rapuh.


Namun satu hari, rindu tu meledak. Maka ditulis satu surat rayuan. Email dihantar tanpa harapan besar, cuma sekadar nak mereka tahu, suami che kak bukan sekadar staf jabatan, dia suami kepada seorang isteri, ayah kepada tujuh anak.


Dan selepas itu, che kak senyap. Umi dan papa teruskan solat hajat. Kawan-kawan terus doakan. Che kak serah semuanya pada Allah.

Hinggalah satu hari…

Surat balasan sampai.

Hati berbunga.

Surat pertama dulu buat jiwa melayang.

Tapi kali ini…

Surat itu membawa separuh jiwa pulang ke tempatnya.



Comments