Bekerja Bukan Sekadar Cari Rezeki, Tapi Tanggungjawab dan Ibadah
Sempena cuti Hari Pekerja ni, Che Kak terasa nak menaip panjang sikit. Bukan nak kupas ciri-ciri pekerja cemerlang atau kongsi tips naik gaji. Che Kak pun bukan pekerja contoh sangat 😅 tapi sekadar nak kongsi sedikit pengalaman sendiri, buat kenangan dan mungkin… buat modal makcik membawang nanti ðŸ¤
Dah 20 tahun 4 bulan Che Kak berkhidmat sebagai penjawat awam. Kalau ikut umur sekarang, lambat lagi nak pencen (kalau panjang umur). Sebelum tu, pernah rasa kerja kilang selama 3 bulan, dan jadi cikgu Taski ABIM selama 2 tahun. Semua tu kenangan yang mahal.
![]() |
Melawat anakanda Aiman di UnisZa |
Kenapa Bekerja?
Mula-mula dulu, dah tentu kerja sebab nak sara diri sendiri. Nak ada pendapatan, nak berdikari. Bila dah berumahtangga, keutamaan berubah kerja demi keluarga. Demi anak-anak, demi kelangsungan hidup yang lebih baik.
Lama-lama, baru sedar bahawa kerja ni bukan sekadar rutin harian. Ia juga ibadah. Tuntutan agama. Tanggungjawab kepada masyarakat, negara dan paling penting, kepada diri sendiri juga.
Izin Suami Tetap Keutamaan
Che Kak kerja dengan izin suami. Pernah juga suami minta Che Kak berhenti. Tapi… sebagai isteri yang tak berapa solehah (Che Kak mengakulah ni 😅), dah tentu Che Kak bagi hujah panjang berjela.
Sebab utamanya, Che Kak tak nak berhenti kerja tanpa kerelaan sendiri. Bukan tak percaya pada rezeki suami, tapi kita hidup di zaman yang makin mencabar. Kewangan ni bukan soal duit semata-mata, tapi tentang rasa selamat, stabil dan cukup untuk keperluan asas.
Suami Kena Fikir Dalam-Dalam
Kalau ada suami yang terfikir nak suruh isteri berhenti kerja, fikirkan semula. Kalau tak mampu bagi jaminan bahawa isteri dan anak-anak akan bahagia dan terjamin hidupnya, biarlah isteri terus bekerja.
Bukan sebab isteri tak percaya pada rezeki. Tapi zaman sekarang, survival tu bukan mudah. Kadang kerja ni bukan nak kaya pun cukup untuk belanja dapur, bayar bil, beli baju anak dan sekali-sekala reward diri dengan sepinggan mee celup pun dah rasa nikmat.
Bukan Semua Isteri Ada Pilihan
Namun, Che Kak juga sedar… bukan semua wanita mampu bekerja. Ada yang perlu jaga anak istimewa. Ada yang jadi suri rumah sepenuh masa. Jangan pandang rendah pada mereka. Pengorbanan mereka sangat besar dan mulia.
Bagi yang ada kemahiran, cubalah gunakan. Pandai masak, boleh berniaga. Pandai menjahit, buat tempahan. Yang reti main online, boleh buat dropship, jual barang di Shopee ke, TikTok Shop ke… rezeki ada di mana-mana, asalkan kita rajin cari dan tahu jaga niat.
Akhir kata dari Che Kak:
Bekerja bukan untuk bermegah. Cukup untuk rasa cukup.
Bukan untuk kaya, tapi untuk rasa bermaruah.
Bukan untuk menunjuk, tapi untuk hidup selesa bersama keluarga.
Selamat Hari Pekerja kepada semua tak kira kerja apa, yang penting kita usaha dengan jujur dan ikhlas. 💪❤️
Comments
Post a Comment