Pemimpin yang Tak Sombong, Rakyat yang Dihargai

Dari JKM WP ke Dun Meranti: Kisah Che Kak dan Sebuah Peta Tangan


Selepas menempuh pelbagai suka duka selama dua tahun di JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada tahun 2005, saya berpindah ke JKM Pasir Mas dan berkhidmat selama 8 tahun di sana sebelum ditukarkan ke JKM Pasir Puteh. Di sinilah saya menggalas amanah sebagai Ketua Unit Sosioekonomi dan Bantuan (EB), selain turut 'menjaga' kawasan Dun Meranti.


Saya tidak berseorangan – ada juga anak buah yang turut bersama. Mulut dia memang ‘laser’, sampai satu hari dia boleh komen saya pakai kain batik macam nak menoreh getah. Padahal saya sendiri rasa dah cukup comel berbaju mini kurung dan berkain batik! Tapi jujurnya, dia sangat bagus dalam kerja – itu yang penting.


Saya sering turun padang ke kampung-kampung sekitar Dun Meranti, sama ada untuk siasatan kes baru mahupun kajisemula bantuan. Rujukan utama saya? Sebuah peta tangan yang dilukis oleh Abe Nor satu ketika dulu. Zaman itu, tiada Waze, Google Maps pun belum ada dalam kamus hidup kami.


Setiap kali melalui hadapan rumah YB Adun Meranti, saya kagum melihat rumah kampung beliau yang sederhana – mencerminkan keperibadiannya yang merendah diri. Setiap tahun, kami akan bertugas semasa pembayaran bantuan Armalah bersama YB. Waktu itu, beliau belum bergelar Dato', lebih mesra dipanggil YB atau Ustaz.


YB memang seorang yang tidak sombong, sentiasa senyum dan sanggup menanti hingga selesai majlis pembayaran bantuan. Saya hormat orang seperti ini. Bila beliau sendiri yang sapa kita dulu, rasa segan yang kita bawa tadi bertukar menjadi rasa dihargai. Tak jatuh ‘standard’ pun seorang wakil rakyat bila mereka memulakan perbualan – malah, bertambah tinggi nilai hormat kita terhadap mereka.


Saya pernah juga bertugas di Dun lain, berbeza sungguh. Ada YB datang sekadar untuk gimik, kemudian berlalu pergi meninggalkan kami menyempurnakan majlis sendirian. Tak perlulah saya sebut Dun mana.


Dan kalau sebut Meranti, tak sah kalau tak cerita tentang banjir. Bila musim banjir, YB sentiasa bersama rakyatnya – bukan hanya hadir bila kamera ada.


Bila dapat tahu YB Adun Meranti dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, saya rasa sangat bangga dan menyokong penuh. Tahniah diucapkan. Semoga negeri Kelantan terus makmur di bawah kepimpinan beliau.


Saya sekadar berkongsi pengalaman – bukan soal parti, bukan soal taksub. Cuma ini kisah seorang kakitangan biasa yang menyaksikan sendiri perbezaan antara pemimpin yang benar-benar memimpin dengan hati.


#doneclaim





Comments