"Dulu Uzur, Kini Period – Perjalanan Seorang Wanita"
Dulu kita panggil “uzur syar’ie”, bukan “period”. Masa tu, kalau naik sekolah menengah baru dia datang. Kalau darjah enam belum mari lagi, orang kata “memang lambat benar doh ni”. Tapi itu normal, bukan pelik pun.
Zaman dulu, bila tiba masa “uzur”, kita guna kain batik lama buat alas. Lepas guna, cuci dan jemur diam-diam, sorok dari pandangan mata orang – malu kalau orang tahu! Kalau ada yang guna tuala wanita jenama masa tu, biasanya saiz besar, dibungkus pula dengan surat khabar masa beli dari kedai runcit. Malu sungguh nak beli sendiri, jadi suruh adik kecik pergi beli.
Tapi sekarang, situasi jauh berbeza. Tuala wanita berjenama bersepah di pasar raya. Selamba je orang letak dalam troli. Tak perlu sorok-sorok lagi. Buka TV pun penuh iklan — siap dengan animasi “sayap”, “kepok”, “siang”, “malam”, “nipih”, “tebal”, semua ada! Pendek kata, nak selesa atau nak wangi, semuanya ada. Yang penting, sediakan duit je.
Kadang kita sendiri jadi pening nak pilih mana satu yang sesuai. Lagi-lagi kalau suruh suami beli silap beli, kita pulak jadi “bekeng” macam harimau sakit gigi!
Dulu, bila datang uzur, malu nak beritahu cikgu atau kawan. Waktu solat Zohor di surau sekolah, kita nyusuk balik ikut tangga jamban. Tapi sekarang lain. Ada apps boleh muat turun, boleh track kitaran haid, siap boleh rancang aktiviti harian. Dari kira dengan jari, sekarang semua digital!
Pelik juga bila satu Malaysia tahu bila anak kita mula haid tanda dia sudah akil baligh. Tapi sebagai ibu bapa, ini tanggungjawab kita. Waktu ni lah kena ajar anak bab fardhu ain, kebersihan diri, dosa pahala. Jangan biar anak belajar dari kawan atau TikTok semata-mata.
Penutup
Haid bukan lagi isu yang perlu diselindung. Ia tanda kematangan seorang gadis. Kita yang dewasa perlu buka ruang untuk bercakap, memberi bimbingan, dan menunjukkan bahawa ini semua adalah fitrah bukan sesuatu untuk dimalukan.
Comments
Post a Comment