Rutin Harian: Sekadar Hidup atau Benar-Benar Menghidupkan?

Kerja. Balik. Main telefon. Tidur.

Macam biasa. Ulang-ulang. Begitulah rutin harian ramai dari kita termasuklah che kak sendiri. Nampak macam hidup ni mudah. Tapi bila kita fikir dalam-dalam, kita mula tertanya: "Apa sebenarnya yang aku kejar setiap hari?"


Subuh: Permulaan yang Menentukan

Sebelum pergi kerja, apa kita buat?

Solat. Tapi bukan sekadar solat wajib. Cuba solat sunat Subuh. Rasa dia lain macam. Hari rasa panjang, hati rasa lapang.

Lepas solat, che kak terus siapkan baju anak-anak ke sekolah dan baju sendiri. Ada hari anak-anak tolong iron baju sendiri. Tapi tabiat che kak sejak zaman sekolah tak pernah berubah. Malas nak iron malam-malam atau untuk seminggu terus. 😅


Sakitnya Jadi Supermak

Dulu masa anak masih kecil, nak iron baju pun rasa nak menangis. Penat. Lenguh. Sampai satu hari, che kak minta pada suami nak beli iron wap mahal. Alhamdulillah, suami belikan. Sejak tu, kerja jadi mudah. Tak takut lagi baju hangit kena iron panas. Syukur zaman sekarang banyak gajet mudahkan hidup mak-mak.

Pagi-pagi Dah Mula Drama

Kadang sempat masak, kadang tak. Tengok mood dan “order” dari anak-anak. Tapi memang tabik spring kat mak-mak yang kreatif sediakan bekal anak hari-hari. Che kak? Selit mana sempat je.


Pejabat: Tempat Cari Rezeki dan Ujian Sabar

7.30 pagi dah sampai pejabat. Tapi kerja tetap takkan habis. Pandai-pandailah urus masa dan tenaga.

✔ Bila penat, rehat.

✔ Bila stress, tarik nafas panjang.

✔ Bila rasa berat, kongsi dengan ketua.

✔ Bila kerja berkumpulan, hormat rakan sekerja.

Jangan rasa malu nak dengar pandangan orang lebih muda. Kadang-kadang idea mereka lebih segar dari kita. Tak jatuh maruah pun.

Paling penting, kerja ikut SOP dan panduan semasa. Jangan ikut bulat-bulat apa yang “orang lama” ajar, terutama kalau tak relevan lagi.




Dan satu nasihat penting che kak:

Jangan bergaduh dengan klien. Letih otak nak tulis laporan aduan pelanggan.


Kerja Serius, Tapi Boleh Enjoy

Sekali sekala, buat aktiviti santai. Masak-masak dengan rakan sekerja. Hari tu masak gulai darak daun kesum ikan talapia. MasterChef: En. Bahrom. Siap pernah buat pais tempoyak ikan patin. Sedap, bajet RM5 je sorang. Berbaloi dari makan kat kedai.



Balik Kerja: Masa untuk Keluarga

Takde KPI kata balik lambat tu pekerja paling bagus. Kalau takde tugasan penting, balik awal. Fokus pada keluarga.

Kerja rumah menanti. Tapi ikutlah tenaga. Kalau penat, abaikan dulu kain baju berbakul tu. Tak ke mana pun dia.

Sebolehnya, masak di rumah walau ringkas. Duduk makan sama-sama. Itu je lah masa yang kita ada dengan keluarga.


Syukur Atas Kecilnya Kemudahan

Zaman sekarang mudah. Mesin basuh auto. Dryer ada. Anak-anak pun dah besar, boleh bantu. Legaaaa...


Telefon: Sahabat atau Musuh?

Gunalah telefon dengan bijak. Pantau anak-anak. Gajet ni macam pisau, boleh guna untuk potong buah, boleh juga untuk menyakiti.


Sebelum Tidur: Cermin Diri

Muhasabah diri sebelum tidur. Ampunkan orang lain, bukan sebab mereka betul tapi sebab kita nak tenang. Sebab kita pun buat silap.

Hidup ni tak lama. Tapi cukup untuk kita jadi hamba yang lebih baik setiap hari.


Comments