Rupanya Hati Ini Masih Milik Unit Bantuan

Rupanya Hati Ini Masih Milik Unit Bantuan


Dulu la dulu…

Waktu hati dah mula rasa jemu,

Che Kak dah ‘jaga’ Unit Bantuan hampir 9 tahun. Hampir sedekad.

Sampai satu tahap, dah rasa tepu. Otak rasa beku. Jiwa rasa statik.

Bukan sebab tak suka bantu orang, tapi mungkin sebab terlalu lama duduk di satu tempat yang sama.


Che Kak minta tukar.

Jumpa ex-boss masa tu, minta elok-elok:

"Boleh tak tukarkan saya ke unit lain?"

Jawapan dia lembut… tapi pedih juga sikit:

"Unit tu takde orang nak jaga."


Masa tu, rasa macam hati jatuh tergolek dari meja.

Tapi takpe, kita pendam. Kita diam.

Lepas tu merajuk sorang-sorang. Akhirnya isi borang tukar ke pejabat lain.

Bukan sebab kecewa sangat… tapi lebih kepada menyelamatkan diri daripada jadi kayu reput.


Merasa juga pegang unit lain.

Unit OKU. Cabaran lain, rentak kerja pun lain.

Che Kak belajar banyak perkara baru.

Tak lama lepas tu, semasa zaman PKP  eh! tiba-tiba berpatah balik ke Unit Bantuan.

Kat situ, Allah sahaja yang tahu macam mana cabarannya.

Nak bantu orang ketika seluruh negara tengah lumpuh.

Itu bukan kerja main-main. Itu kerja dengan air mata.


Lepas PKP, tukar bos lagi.

Bos baru bagi amanah baru — Unit Komuniti dan Penguatkuasaan. Atau nama glamernya: PU.

Fuh. Bunyi nama pun dah rasa macam kena pakai kasut keselamatan.

Dulu, bila tengok kerja unit lain, rasa macam senang je.

Tapi bila sendiri duduk dalam kasut mereka… baru tahu.

Kerja mereka pun penuh duri dan bara.

Che Kak hanya mampu tunduk, mohon maaf dalam hati:

"Aku pernah pandang sebelah mata kerja kalian. Maafkan aku."


Tahun lepas pula, Penyelaras Unit Kebajikan Produktif cuti sakit panjang.

Che Kak dipanggil bantu.

Entah macam mana… hati rasa tenang.

Serasi. Lembut. Familiar.


Rupanya kasih Che Kak pada Unit Bantuan ni… tak pernah padam.




.Semalam, dapat pekeliling baru.

Hari ni, baca dan hadam perlahan-lahan.

Taklah setebal buku akta, tapi cukup untuk buat dahi berkerut.

Takpe… kita hadam perlahan-lahan.

Macam kita hadam hakikat:

Kadang kita lari dari sesuatu yang sebenarnya tempat kita paling serasi.


Kerja ni memang kadang buat kita letih.

Tapi kalau letih tu ada makna maka itu bukan sia-sia.

Unit boleh bertukar. Boss boleh berubah.

Tapi bila jiwa dah klik dengan tugas,

kita tahu… itulah tempat kita sebenarnya

Comments