Di Sebalik Cekodok Kosong

Pagi ni che kak goreng cekodok kosong. Cicah dengan sos cili—simple, tapi cukup untuk pujuk perut yang mula berbunyi. Bukan tak boleh letak bawang atau cili dalam adunan, tapi anak-anak tak suka. Jadi, kita ikut selera mereka. 


Cekodok ni bukan sekadar makanan, kadang-kadang dia lambang kasih kita sanggup ubah cara, asalkan yang kita sayang selesa dan bahagia.


Anak-anak dah kenyang awal dengan spageti lebihan malam tadi. Che kak sediakan sekadar alas perut, sementara tunggu lauk ayam bercili siap dimasak. Dapur ni jadi ruang paling aktif tiap kali cuti tempat makanan disediakan, tempat penat dilupakan.




Cuti bagi che kak bukan makna rehat sepenuhnya. Ia selalunya bermaksud kemas rumah, basuh baju, susun stok lauk dalam peti. Ada masa, che kak berhenti sekejap. Duduk, tarik nafas, dan benarkan diri layan satu dua episod drama. Atau biar sunyi yang bercakap.


Tak mampu upah orang gaji, bukan sebab tak mahu. Tapi hidup kadang bukan tentang ada atau tiada duit, tapi tentang apa yang kita mahu simpan sebagai ruang sendiri. Rumah bagi che kak adalah privasi, dan setiap sudut yang che kak kemas dengan tangan sendiri ada tenang yang tak boleh dibeli.


Kadang-kadang bila penat, che kak  menulis. Tak panjang pun, cukup untuk lepaskan rasa. Bila tangan berhenti, mungkin tubuh pula ambil alih. Tarik selimut, tutup mata, dan jadi sleeping beauty versi ibu. 


Dan ya, V Stapper dah mula menuntut janji. Masa untuk rehat sejenak. Kerja akan tetap ada. Tapi masa untuk diri sendiri, kalau tak dijaga… akan hilang perlahan-lahan.


Comments