Siri 10: Makluman Berkaitan Proses Jual Beli Rumah

Sebaik sahaja urusan bersama LHDN selesai, kami dikejutkan dengan berita pemergian tuan rumah. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga isteri dan anak-anak tabah menerima ujian ini.


Ketika menziarahi arwah, Che Kak agak serba salah untuk memaklumkan apa-apa berkaitan rumah, kerana merasakan masa dan suasananya kurang sesuai.


Namun begitu, kami tetap memaklumkan perkembangan proses kepada anak arwah agar waris tahu kedudukan semasa urusan jual beli ini. Berita kematian juga telah dimaklumkan kepada Encik Dien.


Sejujurnya, Che Kak pun tak tahu nak jelaskan secara tepat kepada isteri arwah tentang sejauh mana lagi proses ini akan berjalan.


Che Kak dimaklumkan bahawa proses tidak akan terjejas kerana pertukaran nama hampir selesai. Cuma, apabila wang diterima daripada pihak bank nanti, pihak peguam akan tahan dahulu dan ia perlu melalui proses notis pusaka sebelum dilepaskan kepada pihak yang sepatutnya.


Prosedur memang panjang, dan kadang-kadang susah nak faham. Kalau nampak macam lambat, bukan sebab sengaja dilambatkan tapi memang prosesnya begitu, perlu ikut aturan dan melalui banyak pihak.


Namun apa yang boleh dikongsi setakat hari ini ini ialah, semua proses telah selesai dan lengkap, pihak bank telah melepaskan wang pembiayaan kepada pihak peguam untuk tindakan seterusnya.


Peguam juga telah menemui waris yang dipersetujui melalui proses notis pusaka untuk tindakan lanjut. Setakat ini, itulah sahaja yang Che Kak tahu dan ambil tahu.


Insya-Allah, bermula gaji bulan Ogos nanti, bayaran pinjaman akan mula berjalan.


Alhamdulillah, urusan bersama firma guaman Shahiran Yuzirul Anuar berjalan lancar dan amat membantu dalam memudahkan proses jual beli rumah ini. Rezeki dapat berurusan dengan firma ini walaupun che kak tidak pernah kenal sebelum ini. Hanya berbekalkan keyakinan dan kepercayaan kepada Encik Dien sahaja. Terima kasih tak terhingga juga kepada Encik Hafizuddien Ayob yang banyak membantu Che Kak sepanjang proses jual beli rumah ini.


Sebagaimana yang Che Kak pernah sebut, "Hanya jauhari mengenal manikam."


Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang sudi mendengar dan memberi pandangan  terutama Che Ty, Kak Wani, dan Suri. Sokongan kalian sangat bermakna. 


Ucapan untuk keluarga che kak simpan dulu.😆


Untuk sekarang, Che Kak “tutup buku” dulu berkaitan bank, Pejabat Tanah dan peguam.


Doakan segalanya selesai dengan baik.Insya Allah, nanti kita buka cerita baru pula selepas dapat kunci rumah. 


Penafian: Catatan ini merupakan perkongsian pengalaman peribadi semata-mata. Ia tidak mewakili pandangan atau pendirian mana-mana individu, jabatan, agensi kerajaan, atau organisasi swasta.




Comments