Che Kak tulis ini bukan bermaksud Che Kak benci. Che Kak juga bukan ahli mana-mana parti politik untuk tahu semua perkara yang berlaku dalam arena politik.
Che Kak menegur kerana ini adalah pendapat peribadi Che Kak berdasarkan pengalaman sendiri.
Sebagai contoh, kita lihat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang kini telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.
Pengalaman Che Kak selama 4 tahun menjadi Penyelaras Unit OKU dan salah satu skop tugas ialah menyelaras PDK sangat membantu dan bermakna dalam perjalanan kerja Che Kak.
PDK diwujudkan dalam komuniti untuk memastikan warga OKU tidak terpinggir dan mengelakkan mereka ditempatkan di institusi kebajikan.
Para petugasnya dilantik sebagai sukarelawan secara kontrak, tetapi tetap menerima elaun yang agak tinggi.
Setiap kali membuat lawatan naziran, kami akan memastikan dokumen pekerja PDK lengkap termasuk surat lantikan, surat kontrak, pendaftaran KWSP dan bayaran saguhati.
Bagi aspek lain, Che Kak tak mahu ulas panjang. Cuma, jika jawatankuasa PDK kreatif mencari sumber dana melalui penjanaan ekonomi, mereka boleh menambah pendapatan selain daripada geran kerajaan.
Waktu kerja mereka juga separuh hari. Walaupun bertugas secara sukarela, mereka tetap terikat dengan peraturan demi kelangsungan PDK secara telus.
Che Kak melihat PASTI juga serupa. Walaupun diasaskan atas dasar sukarela, biarlah ia selari dengan undang-undang sedia ada.
Selain memberi proses pembelajaran kepada kanak-kanak, kebajikan sukarelawan perlu dijaga apatah lagi ia melibatkan nyawa ribuan kanak-kanak di premis PASTI.
Sebagai pucuk pimpinan tertinggi, sepatutnya gunakanlah kuasa yang ada untuk menambah baik institusi pendidikan kanak-kanak supaya setaraf dengan institusi lain dari sudut perundangan dan pengurusan.
Teguran sepatutnya dijawab dengan sikap terbuka dan matang, bukan sindiran. Sindiran hanya menambah ketegangan, membuat orang rasa tidak dihargai dan akhirnya tidak menyelesaikan masalah.
Kalau kita ambil masa untuk dengar, faham dan mencari solusi bersama, bukan sahaja masalah dapat diselesaikan malah hubungan kerja dan kepercayaan juga akan semakin kukuh.
Penafian: Catatan ini merupakan perkongsian pengalaman peribadi semata-mata. Ia tidak mewakili pandangan atau pendirian mana-mana individu, jabatan, agensi kerajaan, atau organisasi swasta.
#gambarhiasan
Comments
Post a Comment