Beberapa kali Che Kak ikut pekerja kes pergi lawatan ke rumah. Ada kes permohonan bantuan, rujukan dari pelbagai agensi dan juga kajisemula bantuan sedia ada.
Kalau tanya Che Kak, lawatan ke rumah memang sangat penting dalam kerja sosial. Ia bukan sekadar nak tengok rumah orang tapi nak memahami keadaan sebenar klien dalam persekitaran mereka.
![]() |
Gambar hiasan |
Sedih (sebenarnya menyampah) betul bila ada pekerja kes ambil jalan mudah. “Saya dah call dua kali tak angkat, jadi bantuan ditamatkan.” 😑
Hello, kalau setakat bergantung pada telefon, baik tak payah susah-susah buat dokumen prosedur ISO dan garis panduan.
Rumah klien sendiri boleh jadi cermin keadaan hidup mereka sama ada cukup keperluan asas, tahap kebersihan, hubungan keluarga, kesihatan dan macam-macam lagi.
Ada perkara yang klien tak akan cerita semasa isi borang atau semasa temubual di pejabat. Tapi bila masuk ke rumah realiti sebenar mula terserlah.
Suasana rumah lebih santai berbanding pejabat. Klien dan ahli keluarga biasanya lebih mudah berkongsi maklumat apabila berada di ruang peribadi mereka sendiri.
Pekerja kes boleh buat keputusan yang lebih adil sama ada bantuan perlu diteruskan, ditambah atau memang patut ditamatkan.
Che Kak sendiri pernah alami situasi yang membuatkan che kak insaf. Sampai ke rumah beberapa orang klien yang berniaga makanan, terus rasa geli 🤮 tengok keadaan rumah dan dapurnya. Maaf la kalau che kak tak support peniaga makanan.
Ada juga klien bantuan tapi dalam masa yang sama mampu pula membeli motosikal yang harganya melebihi RM10k. Logiknya, kalau boleh bayar ansuran mahal setiap bulan dengan apa sebenarnya mereka menyara hidup? Maklumat begitu memang jarang tertera dalam borang permohonan.
Inilah hakikatnya kalau hanya bergantung pada panggilan telefon, banyak perkara penting takkan muncul.
Lawatan ke rumah bukan sekadar prosedur. Ia adalah seni memahami manusia dalam persekitaran sebenar mereka.
Daripada lawatan inilah pekerja sosial boleh membuat penilaian yang lebih tepat, adil dan penuh empati terhadap klien yang dibantu.
Comments
Post a Comment