Sebuah Fail, Sebuah Perjalanan 45 Tahun

Pagi tadi che kak sempat mengikuti satu kursus secara dalam talian. Mudah betul sekarang tak perlu ke mana-mana, hanya duduk depan komputer sambil buat kerja lain pun boleh. Jimat masa dan kos.


Tengah-tengah dengar kursus, tergerak pula hati nak belek fail lama yang masih aktif. Fail itu bukan calang-calang, usianya sudah 45 tahun! Bayangkan, rekod bermula sejak tahun 1980 lagi.


Che kak selak helaian demi helaian. Seronok baca perjalanan kes seorang klien dari awal. Nampak usaha dan dokumen lama yang penuh cerita. Timbul juga persoalan dalam hati masih adakah pegawai asal yang menguruskan fail ini dahulu?


Dalam fail ini tercatat segala bentuk bantuan yang diterima bukan sekadar kewangan, tetapi juga projek jaya diri malah peluang masuk ke pusat latihan. Semua rekod tersimpan rapi. Fail ini bukan lagi sekadar kertas tapi sejarah hidup seorang insan.


Menariknya, che kak terjumpa perkataan “kelayen”. Mula-mula ingat salah taip daripada “nelayan”. Puas juga difikirkan, rupa-rupanya itu ejaan lama untuk perkataan “klien”. Begitulah bahasa, sentiasa berubah ikut zaman.


Perubahan istilah juga jelas terlihat. Dahulu perkataan “cacat” digunakan tanpa isu. Kini, kita lebih berhati-hati. Istilah itu diganti dengan “Orang Kurang Upaya (OKU)” agar lebih sopan dan menghormati maruah penerima. Kalau tak silap, perubahan ini bermula ketika era Tun Dr. Mahathir.


Lebih mengharukan, klien ini masih aktif hingga kini. Masih bekerja dan layak menerima Elaun Pekerja OKU sebagai insentif. Usaha itu patut dipuji kerana bantuan yang diberi mampu menyokong seseorang untuk terus berdikari.


Kalau difikir fail ini bukan sahaja tentang individu tetapi juga tentang evolusi sistem kebajikan kita.


Bahasa, daripada “kelayen” ke “klien”, daripada “cacat” ke “OKU”.


Pelbagai jenis bantuan dan perkhidmatan.


Dasar kerajaan yang sentiasa berubah mengikut keperluan semasa.


Menyelak fail lama seolah-olah membaca sejarah negara dalam versi kecil. Ia mengingatkan kita bahawa setiap dokumen bukan hanya angka dan laporan tetapi kisah hidup, perjuangan dan bukti bahawa dasar kebajikan memberi impak.


Fail ini bukan sekadar rekod kerja. Ia warisan yang wajar kita hargai dan dokumentasikan supaya generasi baharu tahu perjalanan panjang yang telah dilalui untuk sampai ke tahap hari ini.


Mungkin… 45 tahun lagi, pada tahun 2070, pegawai kes masa hadapan juga akan tersenyum, berasa kagum dan berfikir perkara yang sama apabila mereka menyelak fail yang kita uruskan hari ini.🤪


Setiap helaian ada cerita, setiap catatan ada erti.


✍️ Catatan ini hanyalah pandangan dan pengalaman peribadi penulis. Tiada kaitan dengan mana-mana jabatan atau organisasi.





Comments