Che kak dan suami sama-sama graduan Diploma UPM tapi dua-dua tak pernah merasa naik pentas konvo. Entahlah… rasa macam dah mati semangat nak konvo. Lupa dah sebabnya.
Konvo Asasi abang Ahyad tahun lepas pun tak sempat hadir mungkin sebab banjir.
Jadi bila dapat peluang tengok suasana majlis konvokesyen abang Aiman kali ini kiranya rezeki juga.
Dapat bawa anak-anak sekali tengok abang Aiman mereka naik pentas dengan jubah hitamnya.
Berada di kerusi jemputan ibu bapa ni rasa macam lain benar. Ada rasa bangga tapi dalam masa yang sama rasa macam dah tua.
Tapi peliknya semangat nak bersara makin membara. Tak sabar nak lalui fasa hidup yang lebih tenang, nak menulis buku. Tajuknya nanti-nantilah fikir. Buat masa sekarang fokus pada keluarga dan kerjaya dulu.
Graduan semuanya comel-comel belaka, bersemangat dan majlis pun penuh protokol.
Tapi bila tengok suasana dewan besar itu lautan jubah hitam, senyuman bangga para graduan dan ibubapa rasa sebak datang tiba-tiba.
Biarpun bukan che kak yang naik pentas tetap terasa manisnya kejayaan itu.
Mungkin sebab pernah lalui detik susah masa belajar dulu tugasan bertimbun, kelas pagi hingga ke petang. Penat tak bertepi, berjalan berlari ke dewan kuliah. Tapi tak pernah merasa kemeriahan konvo sendiri.
Jadi kali ini duduk di kerusi tetamu bersama suami rasa bersyukur akhirnya dapat juga rasa suasana majlis ini.
Pernah jadi pelajar kini sebagai ibu yang datang meraikan kejayaan anak. Masa memang cepat berlalu.
Tersenyum sendiri bila nampak wajah abang Aiman di skrin besar. Terasa masih baru lagi hadir konvo tadika dia dulu.
Tersentuh juga bila melihat graduan OKU naik pentas menerima ijazahnya. Tabah dan kuat semangat sungguh dia.
Bertambah sebak bila ada seorang ibu yang naik menerima anugerah anumerta anaknya yang meninggal dunia semasa semester akhir. Semoga si ibu dan keluarganya tabah hadapi ujian ini.
Ada juga selingan nyanyian lagu Sampai Hati dan Ayah Ibu semasa rehat. Walaupun che kak memang peminat lagu slow rock tapi rasa pelik juga dengar lagu begitu dalam majlis penuh protokol. Hehe.
Tapi apa pun ianya tetap jadi satu kenangan manis. Ini hanya sekadar coretan pengalaman kecil tapi penuh makna dalam hati seorang ibu. 💖













Comments
Post a Comment