Sensitifkah Kongsi Nombor Telefon Peribadi?

Nombor telefon peribadi adalah perkara yang sangat sensitif.


Memberi nombor telefon seseorang tanpa pengetahuan atau izin mereka adalah sesuatu yang tidak wajar dan dianggap melanggar adab serta privasi.


Sewajarnya, minta izin terlebih dahulu sebelum memberi atau menggunakan nombor telefon peribadi. 


Hormatilah ruang privasi kami. Bukan semua orang selesa dengan urusan kerja dibawa keluar dari waktu pejabat apatah lagi dihubungi oleh individu yang tidak dikenali.


Walaupun kami bekerja dalam bidang yang melibatkan orang ramai, itu tidak bermaksud kami sentiasa bersedia diganggu pada hari cuti. 


Komitmen sepenuhnya telah diberikan pada waktu bekerja. Hari cuti pula adalah masa untuk urusan peribadi, keluarga dan rehat. 


Kadangkala pada waktu itu mungkin kami sedang berdepan tekanan, tidak sihat atau mempunyai masalah keluarga.


Pernah dahulu, seorang ketua kampung berkeras mahu datang ke rumah untuk menyerahkan borang permohonan bantuan. 


Walaupun sudah dimaklumkan urusan sebegitu hanya sesuai dilakukan di pejabat. Akhirnya, keadaan menjadi janggal kerana anak-anak sedang aktif bermain dan suasana rumah tidak kondusif untuk urusan rasmi. (Suami outstation).


Bukan bermaksud kami menolak kerja tetapi apabila sudah berada di rumah dan sedang bercuti, kami benar-benar ingin melepaskan diri seketika daripada tugas yang tidak pernah habis. Ini juga bagi mengelakkan isu integriti dan salah faham.


Sekiranya panggilan tidak dijawab sekali atau dua kali, seeloknya hantarlah WhatsApp terlebih dahulu jika benar-benar ada hal mustahak.


Mohon hormati batas profesional dan privasi. Terima kasih.



Comments