Serapuh Itu Hubungan Adik-Beradik

Tular kes pergaduhan di Pasar Melor membuatkan che kak teringat satu kejadian pergaduhan adik-beradik di sebuah pasar raya.


Terkejut juga ketika itu. Si kakak telah memukul adiknya sehingga wajah si adik berdarah. Shawl yang dipakai si adik turut tercabut hingga menampakkan rambutnya.


Si ibu pula kelihatan sangat tertekan dan cuba meleraikan pergaduhan tersebut.


Hanya selepas si kakak meninggalkan mereka barulah kami berani mendekati si adik dan ibunya untuk melihat keadaannya.


Che kak menawarkan diri membawa si adik ke klinik kerana bimbang dengan luka di pipinya kerana darah masih mengalir.


Tak dapat dibayangkan betapa hancurnya perasaan seorang ibu melihat anak-anaknya bergaduh sedemikian rupa di tempat awam pula. 


Malu, sedih, kecewa semuanya bercampur.


Selepas itu, che kak tidak tahu apa yang berlaku kerana kami tidak menunggu mereka di klinik. Sekadar menghantar, itu sahaja yang mampu dibuat.


Serapuh itu hubungan adik-beradik. Tak tahulah di mana silapnya.


Apa yang pasti, pergaduhan seperti itu bukan terjadi secara tiba-tiba. Ia pasti sudah lama terpendam hanya menunggu masa untuk meletus.


Mudah-mudahan persengketaan ini tidak berpanjangan. Semoga ada ruang untuk mereka berdamai, saling memaafkan dan kembali kepada fitrah sebagai adik-beradik. 


Hubungan adik beradik ini terlalu mahal untuk dikorbankan oleh amarah.



Comments