(16 Disember 2002 – 16 Disember 2025)
Syukur Alhamdulillah, hari ini genap 23 tahun che kak berkhidmat sebagai penjawat awam di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Setiap cabaran yang ditempuh membawa makna tersendiri dalam membentuk siapa diri che kak hari ini.
Dalam tempoh lebih dua dekad ini, che kak belajar bahawa perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan tugas harian tetapi satu amanah besar untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Ada hari penatnya terasa, ada masa semangat diuji. Namun setiap kali melihat hasil kerja yang memudahkan urusan masyarakat, che kak sedar bahawa setiap pengorbanan itu benar-benar berbaloi.
Pengalaman serta kisah hidup masyarakat yang ditemui sepanjang perkhidmatan membuatkan che kak sentiasa menzahirkan rasa syukur dengan kehidupan sendiri.
Che kak amat menyayangi kerjaya ini kerana peluang seperti ini bukan mudah untuk dimiliki.
Hargailah kerjaya yang kita ada dengan memberi komitmen sepenuhnya, bekerja dengan dedikasi dan disiplin yang tinggi serta menjaga amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.
Jangan jadikan jabatan seperti milik sendiri. Akurlah dengan dasar-dasar jabatan khususnya dan dasar kerajaan amnya.
Kerjaya ini bukan hanya sumber rezeki tetapi juga satu bentuk ibadah apabila dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Pada usia 46 tahun, che kak semakin memahami bahawa kematangan bukan datang semata-mata dengan pertambahan usia tetapi lahir daripada pengalaman, kesedaran dan keberanian untuk terus memperbaiki diri.
Che kak bersyukur dipertemukan dengan rakan sekerja yang mengajar erti kerja berpasukan, pegawai yang tidak jemu memberi tunjuk ajar serta suasana kerja yang membentuk karakter dan disiplin che kak selama ini.
Perkhidmatan awam sentiasa berubah. Cabarannya tidak pernah sama dan kita juga perlu berubah agar kekal relevan.
Che kak berharap tahun-tahun mendatang terus membuka ruang untuk berbakti, menambah nilai kepada organisasi dan menjadi penjawat awam yang lebih matang, tenang serta bermanfaat.
Terima kasih kepada semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Semoga hari-hari mendatang menjadi lebih baik dan bermakna.
Hakikatnya, che kak juga sudah mula merasa tidak sabar menantikan hari persaraan.
Namun begitu, che kak sangat bersyukur dengan rezeki ini. Rezeki yang bukan sahaja mencukupi untuk diri sendiri tetapi membolehkan che kak menyara keluarga dengan penuh rasa syukur.
Semoga setiap rezeki yang dikurniakan ini terus diberkati Allah dan menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan dunia mahupun akhirat.
Hargailah rakan sekerja yang sentiasa memberi sokongan kepada kita. Jangan sesekali menyimpan dendam kerana hidup ini hanya sementara.
Akhir kata, tahniah juga diucapkan kepada rakan-rakan yang sama-sama meraikan hari yang bersejarah ini.

Comments
Post a Comment