Skip to main content

Bila Laporan Kes Kehilangan 'Jiwa'

Ketika membaca laporan kes pegawai penyiasat sekarang, teringat gaya pelaporan pegawai kes dahulu.

Kini, kelayakan asas permohonan bantuan banyak bergantung kepada pendapatan individu atau isi rumah mengikut syarat skim bantuan yang ditetapkan. 

Maka tidak hairan kebanyakan pegawai kes melihat faktor pendapatan sebagai aspek utama sama ada bantuan wajar diluluskan atau ditolak.

Namun begitu, kadangkala timbul kekeliruan dalam penyediaan laporan kes.

Laporan kes sebenarnya tidak perlu ditulis seperti karangan panjang berbunga-bunga. Asalkan mengandungi fakta, pemerhatian dan justifikasi yang jelas, ia sudah memadai. 

Tetapi jika terlalu ringkas, laporan itu kelihatan seperti sekadar isi borang dan bukan lagi laporan siasatan sosial.

Berbeza dengan bantuan daripada sesetengah agensi lain, kerja kebajikan sosial tidak hanya bergantung kepada semakan syarat dan dokumen. 

Gambar hiasan

Dalam kerja sosial, penilaian terhadap fungsi sosial, persekitaran  dan keadaan sebenar klien juga sangat penting.

Che kak sendiri gemar membaca laporan pegawai kes lama sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Cara mereka menulis membuatkan pembaca dapat membayangkan situasi klien dalam fail kes.

Laporan mereka mempunyai 'jiwa' pemerhatian sosial. Kita dapat melihat keadaan rumah, hubungan keluarga, emosi klien, tekanan hidup dan bentuk kesusahan yang dialami.

Sebaliknya, banyak laporan hari ini terlalu berorientasikan pendapatan, dokumen sokongan, status pekerjaan dan syarat skim bantuan.

Akhirnya laporan menjadi sekadar semakan kelayakan bukan lagi penilaian sosial yang menyeluruh.

Hakikatnya, dua keluarga dengan jumlah pendapatan yang sama belum tentu mempunyai tahap kefungsian sosial yang sama. 

Ada keluarga yang perlu menjaga warga emas terlantar, anak OKU, berdepan konflik keluarga, hutang rawatan, masalah kesihatan mental, rumah daif, masalah sosial atau pengabaian anak. Semua ini tidak boleh dinilai melalui angka pendapatan semata-mata.

Laporan kes yang baik tidak semestinya panjang berjela tetapi mesti mempunyai naratif yang cukup untuk menggambarkan situasi sebenar klien, pemerhatian dan penilaian profesional pegawai kes serta memberi justifikasi sosial terhadap keputusan bantuan.

Jika terlalu panjang tanpa 'point' pembaca sukar memahami isu utama. Jika terlalu ringkas pula hilanglah nilai profesional kerja sosial itu sendiri.

Pegawai kes dahulu mungkin menulis dengan menghuraikan atau menggambarkan sesuatu keadaan dengan lebih jelas dan terperinci supaya pembaca boleh membayangkan situasi tersebut. 

Mungkin budaya dokumentasi ketika itu lebih dekat dengan pendekatan kerja sosial klasik  home visit yang lebih mendalam, pembinaan rapport dengan klien, penceritaan keluarga, kronologi masalah dan analisis sosial.

Hari ini pula, tekanan KPI, jumlah kes yang tinggi, sistem digital dan kekangan masa menyebabkan ramai pegawai kes menulis dalam bentuk terlalu ringkas dan menggunakan ayat dan format yang hampir sama untuk semua kes tanpa menggambarkan keadaan sebenar klien secara mendalam.

Hakikatnya, laporan kes yang baik ialah laporan yang seimbang iaitu ringkas tetapi jelas, ada fakta, pemerhatian, analisis dan justifikasi.

Bukan sekadar “Pemohon layak dipertimbangkan bantuan kerana pendapatan rendah.”

Tetapi ada gambaran yang menunjukkan hasil siasatan sosial, contohnya:

“Pemohon tinggal bersama tiga orang anak yang masih bersekolah. Rumah sewa didapati sempit dan kurang penyelenggaraan. Semasa lawatan, bekalan makanan asas dilihat terhad dan pemohon kelihatan tertekan akibat kehilangan pekerjaan sejak enam bulan lalu. 

Walaupun menerima bantuan keluarga terdekat, sokongan tersebut tidak konsisten. Berdasarkan keadaan fungsi sosial keluarga dan ketidakstabilan sumber pendapatan semasa, bantuan sementara wajar dipertimbangkan.”

Di situlah letaknya nilai siasatan sosial dan profesionalisme sebenar seorang pegawai kes.

Comments