Tak semua ibu bapa direzekikan dengan anak-anak yang mampu mewahkan mereka dengan wang dan barangan berharga.
Ada anak-anak yang dapat menaja percutian ibu bapa, termasuk belanja makan di restoran atau kedai makan kegemaran mereka.
Ada ibu bapa yang menyambut kepulangan anak dan menantu kesayangan dengan hidangan istimewa serta senyuman yang tidak lekang di bibir.
Namun, ada juga anak-anak yang tidak mampu mewahkan ibu bapa kerana rezeki dan pendapatan mereka tidak seberapa.
Namun begitu, ada anak yang tetap berusaha menyantuni ibu bapa dengan cara tersendiri seperti membantu membayar bil utiliti, membaiki kerosakan di rumah, menguruskan keperluan harian dan meringankan beban seadanya.
Ada anak yang membantu dengan tenaga dan kudratnya.
Namun, tidak semua ibu bapa memahami dan menghargai setiap pengorbanan anak-anak.
Tanpa sedar wujud bias dalam hubungan sesama anak-anak. Anak yang tinggal berdekatan selalunya kurang dihargai atau jarang diingati kerana kehadiran mereka sudah dianggap biasa.
Sedangkan anak yang sekali-sekala pulang untuk menjenguk ibu bapa yang telah tua, disambut dengan wajah masam. Dalam perbualan pula, terselit sindiran yang kadang-kadang tajam menikam hati.
Hakikatnya anak juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan kecil hati, tawar hati dan penat emosi. Tetapi ramai memilih untuk diam demi menjaga adab terhadap ibu bapa dan takut dianggap derhaka.
Sebagai ibu bapa, tidak rugi jika kita cuba memahami isi hati anak-anak dengan mengetepikan ego sendiri.
Hakikatnya, setiap anak membawa rezeki dan kemampuan yang berbeza. Ada yang mampu memuliakan ibu bapa dengan harta, dan ada yang memuliakan dengan tenaga, perhatian serta kesabaran. Kedua-duanya tetap satu bentuk kasih sayang.
Dalam hubungan keluarga, kata-kata dan layanan memberi kesan yang sangat mendalam. Sindiran yang dianggap biasa oleh ibu bapa kadang-kadang menjadi luka yang dipendam anak bertahun-tahun.
Sebagai ibu bapa, hargailah setiap bentuk pengorbanan anak walaupun kecil pada pandangan mata.
Sebagai anak pula, teruskan berbuat baik selagi mampu tanpa membandingkan nilai diri dengan adik-beradik yang lain.
Kadang-kadang, yang paling diperlukan dalam sebuah keluarga bukanlah kemewahan tetapi rasa dihargai, difahami dan disayangi.

Comments
Post a Comment