Mendapat gelaran ibu bukanlah tiket untuk kita menunjukkan kuasa kepada anak-anak.
Ia adalah amanah dan tanggungjawab untuk mendidik supaya anak-anak menjadi khalifah yang baik di muka bumi ini.
Gelaran ibu tiri juga bukan alasan untuk membezakan kasih sayang. Jangan pisahkan kasih sayang anak-anak dengan bapanya. Jangan ditunjuk rasa benci pada anak-anak tiri.
Anak-anak tidak pernah menidakkan jodoh ibu bapa mereka, malah reda jika itu yang terbaik. Namun, apa yang melukakan hati mereka ialah pergaduhan yang berpanjangan sehingga anak-anak terabai dari pelbagai aspek, lalu menimbulkan kekecewaan dan hubungan yang semakin renggang.
Kadang-kadang kasih anak tiri kepada ibu tiri melebihi kasih ibu kandung.
Buat ibu mentua pula, apabila menerima menantu jangan terlalu mengharapkan mereka mengikut sepenuhnya cara hidup dan peraturan kita.
Jangan mudah memburukkan menantu kerana suatu ketika dahulu kita juga pernah bergelar menantu kepada seseorang.
Jangan ada sikap pilih kasih antara menantu kerana layanan yang tidak adil akan meninggalkan luka dalam diam.
Buat ibu kandung, syurga di bawah tapak kaki ibu bukan bermaksud seorang ibu bebas merosakkan hati dan jiwa anak-anak.
Anak-anak biasanya ingin berbakti dengan cara mereka sendiri, mengikut kemampuan dan sumber yang mereka ada.
Namun, sikap pilih kasih, prasangka buruk dan layanan yang tidak sama hanya akan membuatkan anak-anak semakin menjauh hati.
Apabila usia semakin tua dan kudrat semakin berkurang, kepada anak dan menantulah tempat kita menumpang kasih dan perhatian.
Tetapi jika kasih yang disemai penuh dengan racun luka dan kecewa, mampukah ia tumbuh menjadi kasih sayang yang subur?

Comments
Post a Comment