Skip to main content

Surat Terbuka Dari Kakak Ipar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Surat terbuka ini saya tulis dengan setulus hati buat adik-adik ipar saya, iaitu adik-beradik suami saya.

Sebagai seorang kakak ipar, saya akui saya gagal menjadi kakak ipar yang baik di mata kalian semua. Sebagai menantu pula, saya juga tidak mampu menjadi seperti yang diharapkan oleh mentua saya.

Selama 23 tahun saya bertahan dan bersabar demi menghormati kedua ibu bapa suami saya. Saya juga kuat kerana masih mempunyai ipar duai yang baik dan sentiasa menjaga hubungan sesama keluarga.

Namun saya sedar sejak awal perkahwinan lagi saya sering dipandang dengan buruk sangka.

Sehinggalah saya berada di titik paling rendah sebagai seorang menantu, saya sudah tidak lagi mampu menghadapi sikap narsis yang terlalu memberi tekanan kepada emosi dan mental saya.

Akhirnya saya memilih untuk mengundurkan diri seketika demi memulihkan emosi dan ketenangan diri.

Tetapi saya dan suami langsung tidak menyangka apabila adik-adik ipar juga memilih untuk berdiam diri dan memberi silent treatment kepada kami.

Allahu Rabbi… sungguh kami keliru dan sedih.

Apa yang kami harapkan hanyalah sedikit ruang untuk bertanya khabar dan mendengar daripada kedua-dua belah pihak sebelum mempercayai sepenuhnya apa yang diperkatakan.

Namun tidak mengapa. Kami redha. Kami juga sedar, mungkin kami bukan orang berada dan tidak punya apa-apa kelebihan di mata sesiapa.

Jika setakat ini sahaja nilai kami dalam hidup kalian, kami terima dengan hati yang redha.

Saya juga ingin memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap saya selama menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Halalkan makan minum saya, suami dan anak-anak sepanjang kita bersama. Halalkan juga segala pemberian, bantuan dan jasa yang pernah diberikan kepada kami sekeluarga.

Begitu juga daripada pihak kami, kami halalkan segalanya dunia akhirat.

Saya tidak akan lagi mengganggu kehidupan kalian sama ada dalam urusan hidup mahupun mati.

Semoga Allah melembutkan hati kita semua dan mengurniakan ketenangan buat seluruh keluarga.

Wallahu a‘lam.

Kak Long anak Sidek

01062026

3.00 pagi



Comments